Thursday, October 15, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah .....bhg 2

Wahai angkatan pemuda !
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Oleh itu, wahai angkatan pemuda!
Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.
Seluruh dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.

No comments:

Post a Comment

Visit InfoServe for Blogger backgrounds and to create a website.