Sunday, December 27, 2009

Dakwah kita .....istilah dan caranya bhg 1


DA'WAH KITA


Terusterang
 Kita ingin menerangkan kepada manusia tentang matlamat kita, kita ingin mendedahkan manhaj (method) kita di hadapan mereka, kita ingin mengemukakan da'wah kita kepada mereka dalam suatu bentuk yang tidak menimbulkan keraguan dan kesamaran, lebih cerah dari pancaran matahari, lebih bercahaya dari sinar pagi, malah lebih cerah dari siang yang terang benderang.


Suci
Di samping itu kita ingin supaya kaum kita dan ummat muslimin seluruhnya mengetahui bahawa da'wah Ikhwan Muslimin adalah da'wah yang suci dan bersih, dengan kesuciannya da'wah ini telah meningkat tinggi melewati batas kepentingan diri sendiri, memandangkan hina manfaat kebendaan,
meninggalkan jauh di belakangnya segala bentuk hawa-nafsu dan tujuan-tujuan kepentingan, mara ke hadapan menuruti jalan yang telah digariskan Allah kepada penda'wah-penda'wah. Firman Allah:




"Katakanlah; inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah dengan penuh kesedaran aku dan pengikutku. Maha suci Allah dan bukanlah aku dari golongan mereka yang musyrik':


Kita tidak meminta sesuatu dari manusia, Kita tidak meminta harta dari mereka, kita tidak meminta  upah dari mereka, kita tidak mengharapkan sanjungan mereka, kita tidak mengharapkan balasan dan terima kasih mereka, balasan kita dalam berda'wah ini hanyalah pada Allah yang menjadikan kita.


Kasih-sayang:
Demikian juga Kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih dari diri kita sendiri, Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup
dicabut sebagai harga kepada keagungan mereka, kemuliaan mereka, agama dan cita-cita mereka andainya perkara-perkara ini memerlukan demikian. Kita mengambil sikap yang demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang telah membelenggu hati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan mengalirkan air mata. Amat sukar dan luar dari kesanggupan kita melihat sesuatu menimpa bangsa kita dan kita terus menyerah diri kepada kehinaan atau merelainya, atau kita terus berputus asa. Kami (Ikhwan) bekerja untuk manusia kerana Allah lebih dari kami bekerja untuk diri kami, kami untuk kamu, bukan untuk orang lain dan kami tidak akan menjadi beban kepada kamu. Keistimewaan dan nikmat hanya dari Allah:


 Kita tidak mendakwa memberi suatu nikmat, dan kita tidak menganggap bahawa kita mempunyai keistimewaan dalam hal ini, tetapi Kita percaya kepada firman Allah:
"Maka Allah lah yang mengurniakan nikmat kepadamu dengan memimpin kamu kepada keimanan seandainya kemu orang yang benar':

Tuesday, December 22, 2009

Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam...bhg 3

Empat Perkara Yang Di Keji
Perkara luar biasa yang di keji oleh Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang biasa
melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui pertolongan khadam-khadam yang
terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya. Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh
setiap orang Islam kerana ianya sesat dan menyesatkan. Perkara-perkara tersebut ialah :-
1. Istidraj

Istidraj ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpura-pura beramal
dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu ain, Usuluddin, fekah dan
tasauf. Mereka berbangga dengan perkara luar biasa yang berlaku ke atas diri mereka sedangkan
mereka mengetahui punca sebenar datangnya perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini
terikat dengan perjanjian serta mewujudkan pantang-larang yang selari dengan hukum syarak. Ini
kerana khadam-khadam mereka adalah terdiri daripada golongan Jin Islam samada yang soleh,
fasik atau terdiri daripada Jin yang kafir.
Setiap amalan wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal dengan
kaedah ini kebiasaannya mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah tersemat dalam diri
mereka. Antara matlamat mereka ialah :-
a) Ingin di puja.
b) Ingin dikunjungi oleh orang ramai
c) Cinta kepada pangkat dan kebesaran
d) Ingin mendapatkan harta dan kuasa

Golongan khadam ayat dari golongan puak rohani alam rendah memang dijadikan Allah untuk
menyukakan golongan yang seumpama itu dengan beberapa perkara luar biasa. Mereka pada
zahirnya kelihatan seperti orang yang beriman dan sentiasa menjaga syariat Islam serta berakhlak
Rasul tetapi sebenarnya mereka beramal dengan perkara-perkara kufur dan telah terjun ke lembah
kekufuran, samada mereka sedari atau tidak.
Punca kesesatan golongan ini ialah apabila rohani-rohani alam yang rendah mengunjungi mereka
dalam tidur ataupun semasa jaga, dengan rupa atas nama-nama orang-orang soleh samada yang
masih hidup ataupun yang telah mati atau mereka membuat Tajalli ketuhanan. Lazimnya mereka
dibebankan dengan beberapa syarat yang menepati hukum syarak untuk diamalkan sebagai
syarat perjanjian persahabatan dalam semua kelakuan melalui lidah, anggota dan hati, di semua
tempat, waktu dan masa. Maka bermula di saat itu diri mereka berada di dalam Syirik Uluhiyyah
dan segala rupa bentuk amalan syariatnya tidak ada nilai di sisi Allah.
Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya zahir perkara luar biasa pada perkataan,
perbuatan dan kasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut kerana mereka
ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa keajaiban dari
berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya. Kadang-kadang melalui langkah
mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam permainan tunjuk kuat kebatinan supaya
mereka di anggap orang yang paling makbul doanya atau paling keramat. Jika dia seorang ulama,
maka dia inginkan supaya di kunjungi, di puja dan di hormati sebagai seorang Ahlillah secara
mutlak, sedangkan dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan sebagai
ulama, jika tiada pada dirinya, nyata beberapa perkara yang luar biasa.
2. Sihir.
Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-rang Islam yang durhaka (‘asi )
yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya dan orang-orang
yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi,
Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama dengannya. Sihir ini terjadi melalui pertolongan
daripada rohani Jin Islam yang fasik dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu.
Kebiasaannya golongan ini terikat dengan perjanjian dan mengadakan jamuan yang harus dan
haram di sisi Syarak. Mereka mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan
kumpulan Jin Islam yang fasik dan daripada Jin yang kafir.
Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya sentiasa
bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya Mulhid dan Zindik
dalam bab aqidah. Selalunya mereka akan mengadakan berbagai cara atau upacara yang
berselindung di sebalik ajaran Islam. Antara mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah :-

a) Kumpulan Hassan Anak Harimau
b) Wali Suci
c) Budi (Buddha) Suci
d) Batin Sakti
e) Hakikat Insan
f) Pati Geni
g) Fahaman Wahdatul Ujud dalam I’itiqad
h) Baginda Mukhtar
i) Lain-lain kumpulan yang tumbuh bagaikan cendawan di negara ini.

3. Silap Mata.
Silap Mata adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam yang fasik
dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir. Oleh itu mereka juga
terikat dengan perjanjian dan membuat perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak.

4. Sya’wazah.
Sya’wazah ialah perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali daripada
kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang angkuh daripada
orang-orang kafir. Misalnya apabila mereka meminta sesuatu yang baik, tetapi Allah kurniakan
dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.

Wednesday, December 16, 2009

Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam...bhg 2

Perkara Luar Biasa Yang Mencarik Adat
Allah telah menganugerahkan kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang
mencarit adat yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah dibahagikan
kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji dan menyalahi ajaran
Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru tentang konsep dan perbezaan
perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak dapat membezakan yang mana baik dan
yang mana mesti dijauhi. Bagi menjelaskan kekeliruan itu maka diperturunkan serba ringkas tentang perkara-perkara tersebut, agar pembaca semua dapat membuat penilaian dengan sebaikbaiknya.
Empat Perkara Yang Di Puji
1. Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan rasul-rasul
semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap semasa baginda masih
dalam buaian. Perkara ini tidak menjadi kekeliruan kerana Nabi dan rasul telah tiada pada masa
sekarang.
2. Mukjizat.
Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada Nabi-Nabi dan
rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan dakwah dan risalah
Allah. Contohnya seperti Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh memahami bahasa semua binatang.
3. Karamah.
Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang mukmin yang
berakhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam zahir dan batin. Hal ini adalah
perkara biasa bagi Mereka. Karamah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada
diri zahir dan batin hamba-hambanya yang arif tentang Allah ( Arifbillah ) .
Mereka ini adalah merupakan orang-orang yang alim dan sentiasa beramal soleh. Mereka mahir
sekurang-kurangnya tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf serta mereka sentiasa
beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka sentiasa dengan Allah
tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling. Mereka dimuliakan oleh ahli di langit dan
diperhinakan oleh kebanyakan ahli di bumi.
4. Maunah.
Maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh,
yang apabila di timpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan
pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid,
jampi dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.
Maunah ini merupakan satu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hambahambanya
yang soleh. Mereka arif tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf tetapi
kemampuan beramal mereka adalah terhad. Apabila berlaku sesuatu hal ke atas diri mereka
samada mutlak dari Allah atau yang bersangkut paut dengan manusia, mereka terus
melipatgandakan pergantungan diri dan keimanan kepada Allah serta memantapkan lagi dengan
berbagai-bagai wirid, jampi, doa dan segala amalan sunat. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa
sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah.

Wednesday, December 9, 2009

Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam.

Pada dasarnya amalan beragama orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam bolehlah
dibahagikan kepada tiga kepercayaan yang besar iaitu :-
1. Orang-orang Melayu yang beragama Buddha Puja Dewa
2. Orang-orang Melayu yang beragama Hindu Puja Dewi
3. Orang-orang Melayu yang berpegang dan beramal dengan amalan orang-orang Asli. (
Animisme )
6
Akibat dari ajaran dan pegangan mereka itu lahir dan wujudlah berbagai-bagai bentuk
kebudayaan dan adat resam mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti.
Kedatangan Islam ke Nusantara selepas itu telah berjaya membasmi kepercayaan karut dalam
masyarakat Melayu pada ketika itu. Namun tidak semua masyarakat Melayu yang mahu
meninggalkan kepercayaan mereka secara keseluruhan dan sehingga ke hari ini, kita masih dapat
melihat betapa amalan Khurafat itu masih tegak dan tetap hidup dalam adat resam dan
kebudayaan Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan, kematian, perbomohan dan
perbidanan, latihan pertahanan diri dan sebagainya. Di samping itu kepercayaan kepada bendabenda
keramat seperti keris, kubur, pokok besar, batu dan sebagainya begitu kuat sehingga dapat
di lihat sesetengah orang Melayu yang masih menjaga dan menyimpan dengan baik keris pesaka
sejak turun temurun, yang dikatakan sebagai "Penjaga keluarga."
Kepercayaan seperti ini ada hubungannya dengan asal-usul orang Melayu yang kebanyakannya
berasal dari Kepulauan Indonesia yang memang terkenal pada suatu masa dahulu dengan adat
dan kepercayaan Hindu serta Buddha. Walaupun Islam mula bertapak di Mataram, Majapahit dan
seluruh Kepulauan Jawa namum sisa-sisa peninggalan Hindu dan Buddha masih kuat dalam
pegangan mereka.
Di Semenanjung Malaysia sendiri terdapat berbagai keturunan seperti Melayu, Bugis, Mendiling,
Rawa, Jawa, Banjar, Petani, Siam dan sebagainya dan terdapat juga yang berasal dari keturunan
orang-orang Asli. Setelah memeluk Islam mereka telah membawa adat resam masing-masing di
dalam agama Islam. Walaupun mereka berbeza dari segi suku keturunannya, namun mereka
masih lagi tidak terlepas dari adat resam Hindu dan percampuran dengan adat dan amalan orang
Asli.
Amalan-amalan kuno seperti puja tanduk lembu/kerbau, hantaran perkahwinan, sireh junjung,
nasi tinggi, kelapa-garam-gula dan sebagainya, lenggang perut, kenduri 40/100 hari selepas
kematian, sembelih ayam semasa buka gelanggang latihan pertahanan diri, sangkak/ancak untuk
jamu Jin dan sebagainya adalah contoh amalan yang ada hubungan dengan pengaruh Hindu
dalam adat resam orang-orang Melayu. Begitu juga adat resam, tingkah laku orang-orang asli
sebelum Islam di ambil sebagai adat resam atau sebagai cara beragama yang mesti didahulukan,
di tokok tambah lagi dengan redha dan lahapnya kita menerima membabi buta pengaruh
kebudayaan penjajah yang memang merupakan suatu perancangan jangka panjang Yahudi dan
Kristian khasnya untuk membunuh keperibadian muslim orang-orang Melayu yang berpegang
teguh dengan agama Islam.
Sehingga kini amalan-amalan tersebut masih lagi hidup subur, walaupun telah berkali-kali seruan
dakwah sampai kepada mereka supaya meninggalkan amalan tersebut, namun bagi sesetengah
daripada mereka itu telah beranggapan bahawa adat-adat tersebut seolah-olah sebahagian
daripada ajaran Islam yang mereka anuti. Maka dengan sebab itulah mereka telah
mencampuradukkan antara ajaran Islam yang suci ini dengan adat resam yang karut lagi
menyesatkan itu, yang semata-mata mengikut khayalan, kebijaksanaan pemikiran dan tahsinul
‘aqli mereka semata-mata sahaja..

Saturday, December 5, 2009

KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM.....bhg 1

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu pada ketika itu, boleh di
bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu :-
1. Agama Buddha Puja Dewa
2. Agama Hindu Puja Dewi
3. Amalan orang-orang Asli. ( Animisme )
Orang-orang Asli sangat kuat berpegang kepada berbagai-bagai kaedah pemujaan Jin sehingga
Tok-tok Batin orang Asli di ukur akan kehebatan diri mereka, dengan had ukuran panjang rambut
di kepala mereka.
Percantuman 3 puak ini samada melalui nikah kahwin atau seumpamanya menghasilkan suatu
kemantapan yang kukuh dalam adat resam dan istiadat kebudayaan orang Melayu, di samping
membuahkan pelbagai rupa bentuk ilmu, amalan dan kaedah pemujaan dengan tujuan untuk
mendapatkan sesuatu perkara yang luar biasa dan mencarik adat, berlumba-lumba untuk menjadi
jaguh atau orang yang paling handal di kalangan mereka, untuk bermegah-megah, gagah, orang
yang paling berkuasa, orang yang paling di hormati, di segani dan sebagainya. (Lihat carta
amalan-amalan Khurafat )
Islam datang ke Asia Tenggara samada melalui Negeri China, Yaman, Parsi atau India dan
bertapak kukuh sehingga lebih kurang 200 tahun sahaja. Selepas itu masuklah pula pengaruh
agama Kristian melalui penjajahan kuasa-kuasa Barat. Manakala di dalam masyarakat Islam
sendiri pula telah di pengaruhi oleh pengaruh-pengaruh Rafidiah, Kharijiah, Qadariah, Jabariah
dan sebagainya sehingga menimbulkan berbagai-bagai kefahaman dan aliran dalam
mempraktikan ajaran Islam. Keadaan ini menyebabkan sesetengahnya pula terjerumus kedalam
gaung kesesatan berikut :
1. Bida’ah Dholalah yang Karohah dan Bida’ah yang haram dalam Syariat
2. Berada dalam salah satu daripada 72 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab
Aqidah.
3. Berada dalam salah satu daripada 13 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Sufi
Daripada pecahan di atas maka wujudlah berbagai-bagai kelompok masyarakat Melayu yang
mempunyai fahaman dan amalan masing-masing . Dari situ lahirlah amalan-amalan yang di
panggil amalan "Kebatinan ´ atau " Ilmu Hakikat " ( Ilmu Isi ) yang meninggalkan amal syariat
sehinggakan sembahyang hanyalah dengan niat sahaja. Puak-puak yang sesat ini dapat di lihat
menerusi amalan yang mereka lakukan dalam menunaikan ibadat kepada Allah.
Ringkasnya apa jua amalan yang tidak mengikut garis panduan Al-Quran, Hadis Rasullullah
s.a.w, Ijma dan Qias adalah termasuk dalam salah satu daripada fahaman-fahaman yang sesat
daripada tiga kelompok besar di atas.

Monday, November 9, 2009

MAKNA HAID DAN HIKMAHNYA......bhg 1

1. MAKNA HAID
Menurut bahasa, haid bererti sesuatu yang mengalir. Dan menurut erti
syara’ ialah darah yang terjadi pada wanita secara alami, bukan kerana suatu
sebab, dan pada waktu tertentu. Jadi haid adalah darah normal, bukan
disebabkan oleh suatu penyakit, luka, keguguran atau kelahiran. Oleh kerana
haid adalah darah normal, maka darah tersebut berbeza sesuai kondisi,
lingkungan dan iklimnya, sehingga terjadi perbezaan yang nyata pada setiap
wanita.

2. HIKMAH HAID
Adapun hikmahnya, kerana janin yang ada di dalam kandungan ibu
tidak dapat memakan sebagaimana yang dimakan anak diluar kandungan,
dan tidak mungkin bagi si ibu untuk menyampaikan sesuatu makanan
untuknya, maka Allah subhaanahu wa ta’aala telah menjadikan pada diri kaum
wanita proses pengeluaran darah yang berguna sebagai zat makanan bagi
janin dalam kandungan ibu tanpa perlu dimakan dan dicerna, yang sampai
kepada tubuh janin melalui tali pusat, di mana darah tersebut memasuki
melalui urat dan menjadi zat makanannya. Maha Mulia Allah, Dialah sebaikbaik
Pencipta.
Inilah hikmah haid. Kerana itu, apabila seorang wanita sedang dalam
keadaan hamil tidak mendapatkan haid lagi, kecuali jarang sekali. Demikian
pula wanita yang menyusui sedikit yang haid, terutama pada awal masa
penyusuan.

Tuesday, November 3, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah .....bhg akhir , Hasan Al banna

Wahai angkatan pemuda !
Di atas dasar-dasar yang tetap dan berdasarkan ajaran-ajaran yang mulia inilah kita menyeru anda sekalian. Jika anda percaya kepada fikrah perjuangan ini dan anda menurut jejak langkahnya, memasuki bersama kita jalan Islam ini, melepaskan diri dari sebarang fikrah yang lain, menguntukkan segala tenaga untuk aqidah anda, maka itu adalah sebaik-baik pendirian untuk anda di dunia dan juga di akhirat. Insyaallah, Tuhan akan menjayakan melalui anda seperti mana yang dijayakannya melalui angkatan salaf yang terdahulu dari anda ketika zaman permulaan dulu.
Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.
Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):
وما النصر الا من عند الله العزيز الحكيم
Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.

Sunday, October 25, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah .....bhg 4. Hasan Al banna

Wahai angkatan pemuda,
Sebenarnya kamu sekarang tidaklah begitu lemah berbanding dengan angkatan yang terdahulu dari kamu yang diberikan kemenangan oleh Allah hasil usaha mereka. Oleh itu janganlah kamu merasa hina, merasa lemah malah hendaklah kamu meletakkan di ruang matahati kamu akan firman Allah (Al-Imran:173):
الَّذِينَ قَالَ لَهُمْ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Mereka berkata kepadanya: sesungguhnya orang ramai telah pun mengumpulkan tenaga terhadap kamu, hendaklah kamu merasa takut kepada mereka itu, tetapi mereka ini menjadi bertambah kuat imannya. Lalu mereka berkata memadailah Allah itu untuk kami dan Dialah sebaik-baik pengawal.
Kita akan mendidik diri kita sendiri supaya terbentuklah dari kalangan kita ini apa yang dinamakan individu muslim. Kita juga akan mengasuh rumahtangga kita supaya lahirlah daripadanya nanti apa yang kita sebutkan sebagai rumahtangga muslim. Kita juga akan membentuk umat kita supaya terbentuklah apa yang dinamakan umat Islam. Dan sudah tentu kita akan turut serta ke dalam umat Islam ini dan kita akan terus menerus bergerak menurut langkah-langkah yang sudah ditetapkan menuju hingga ke hujung jalan dan sehingga tercapai sasaran yang Allah tentukan kepada kita; bukan sasaran yang kita sendiri menentukannya. Dan dengan izin Allah serta pertolongannya kita akan tiba di matlamat yang ditujui. Allah tetap enggan melainkan mesti menyempurnakan citaNya walaupun dibenci oleh orang kafir.
Bagi menghadapi persoalan ini kita telah pun menyediakan iman yang sekali-kali tidak akan bergoyang, kerja-kerja yang tidak tersekat-sekat, kepercayaan yang tidak luntur kepada Allah, bahkan kita juga telah menyediakan jiwa raga yang merasai sebahagia-bahagia hari baginya ialah hari yang mereka gugur sebagai para syuhada' di jalan Allah.
Jadikan itu semua sebagai polisi dalaman dan luaran kita kerana kita mengambil pengertian tersebut dari hakikat Islam sendiri. Pemisahan di antara ugama dengan politik bukanlah dari ajaran Islam yang maha suci. Orang Islam yang tulin keugamaannya dan yang benar-benar memahami segala pengajarannya tidak mengerti pemisahan seperti itu. Oleh itu sesiapa jua yang cuba hendak memesongkan kita daripada hakikat manhaj ini, maka eloklah dia meninggalkan kita kerana orang seperti itu tidak terkeluar dari salah satu dari dua jenis manusia iaitu:
musuh kepada Islam atau pun jahil mengenai hakikat Islam.

Wahai angkatan pemuda !
Silaplah orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini ialah suatu kumpulan Darwisy-Tok Lebai yang mengongkong diri di dalam ruangan sempit ibadat Islam yang hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, zikir dan tasbih sahaja. Sebenarnya angkatan Islam yang pertama dahulu tidaklah memahami hakikat Islam dalam bentuk yang sempit seperti itu; mereka juga tidak beriman dengan cara begitu; akan tetapi mereka itu beriman dengan Islam sebagai aqidah serta ibadat, sebagai tanahair dan kebangsaan, sebagai akhlak serta kebendaan, sebagai kebudayaan dan undang-undang serta toleransi dan kekuatan.
Mereka yakin bahawa Islam itu adalah suatu sistem yang sempurna yang sesuai dengan segala bidang kehidupan dan mampu menyusun urusan dunia seperti mana ia menyusun urusan ke akhiratnya. Mereka yakin Islam itu sebagai suatu sistem yang mempunyai kedua-dua sudut amalan dan teorinya sekali. Dengan keyakinan seperti itu maka Islam bagi mereka ialah ugama dan negara serta Qur’an dan pedang.
Namun demikian mereka tidaklah pula lalai dari menunaikan urusan peribadatan mereka dan tidak culas menunaikan segala fardhu yang diwajibkan untuk Tuhan mereka. Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelokkan lagi tata tertib solat. Mereka juga membaca kitab Allah serta berzikir kepada Allah menurut cara yang disuruh oleh Allah dalam batas-batas yang ditentukan kepada mereka, tanpa mengada-ngada dan melampau-lampau, dengan tidak bermain-main di kulit luar dan tidak pula terlampau mendalam berlebih-lebihan. Mereka itu lebih mengetahui mengenai sabda Rasulullah s.a.w yang bererti:
ان هذا الدين متين فأوغل فيه برفق إن المنبت لا أرضا قطع ولا ظهرا أبقى
Sesungguhnya ugama Islam ini amat kukuh; oleh itu resapilah ke dalamnya perlahan-lahan. Sesungguhnya orang yang sangat keterlaluan itu akhirnya tidak ada bumi yang dijalaninya malah tidak pula ia kekal sebarang tunggangannya.
Meskipun demikian namun mereka tetap jua mengambil bahagian mereka dari keduniaan sekira-kira kadar yang tidak merosakkan akhirat mereka; mereka beramal dengan firman Allah: (surah Al - A’raf : 32)
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنْ الرِّزْقِ
Katakanlah: siapakah pula yang mengharamkan perhiasan Allah yang diberikannya kepada hamba-hambanya dan juga rezeki yang baik-baik itu ?
Angkatan Islam mengerti bahawa sebaik-baik gambaran yang diberi kepada para sahabat Rasulullah s.a.w ialah:
رهبان فى الليل وفرسان فى النهار
Ertinya :
Pendeta di malam hari dan satria yang gagah perkasa di siang hari.
Demikianlah pula angkatan Islam ini cuba membentuk diri mereka - Allah jualah tempat kita memohon pertolongan.
Silaplah juga mereka yang menyangka kononnya angkatan Islam mengabaikan tanahair dan patriotik.
Sebenarnya orang-orang Islamlah yang paling ikhlas kepada tanahair mereka. Merekalah yang paling banyak berkorban kepada tanahair. Merekalah orang yang paling menghormati sesiapa juga yang bekerja dengan ikhlas untuk tanahair. Lihatlah, saudara sendiri mengetahui sejauh mana angkatan Islam menyintai tanah air dan setinggi mana pula mereka bercita-cita untuk kebaikan umat mereka.
Tetapi perbezaan di antara orang-orang Islam dengan orang-orang lain yang mendakwa pejuang tanahair ialah asas patriotis Islam ialah aqidah Islamiyah. Oleh itu maka pejuang Islam yang bekerja untuk sesebuah tanahair -misalnya Mesir(atau Malaysia), berjuang pada jalannya dan mereka sanggup mati dalam jihad seperti itu adalah kerana negeri Mesir itu ialah termasuk ke dalam bumi Islam. Mereka kemudiannya tidak pula membataskan perasaan patriotis ini kepada negeri Mesir sahaja tetapi mereka merangkumkan juga setiap bumi Islam dan setiap tanahair orang-orang Islam.
Adapun pencinta tanahair yang tidak bersifat Islam akan membataskan kecintaannya itu kepada bangsanya sahaja. Mereka pula biasanya hanya berjuang kerana ikut-ikutan, sukakan promosi, mencari kebanggaan atau kerana kepentingan-kepentingan yang tertentu. Mereka berjuang bukan menurut kewajipan yang Allah turunkan kepada hamba-hambanya.
Memadailah untuk saudara mengetahui bahawa faham patriotisma mengikut angkatan Islam ialah mereka yakin dengan sepenuhnya bahawa kecuaian terhadap sejengkal sekalipun dari bumi yang didiami oleh orang-orang Islam adalah suatu jenayah yang tidak boleh diampuni, hinggalah mereka dapat mengembalikannya atau pun biarlah mereka mati kerana berjuang untuk mengembalikannya. Mereka yakin bahawa mereka tidak akan terselamat dari balasan Allah melainkan dengan berbuat demikian.
Silaplah lagi orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam ini merupakan penyeru ke arah kemalasan atau keculasan. Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan.
Perlu disebut bahawa apa jua kemunduran dalam sesuatu bidang adalah merosakkan fikrah perjuangan kita dan menyalahi pula ajaran ugama kita.
Meski pun demikian kita memanglah menolak fahaman kebendaan(materialisma) yang menimpa umat manusia, lalu membawa mereka ke arah hidup untuk diri sendiri sahaja(individualistik) dan mendorong mereka mengguna segala kemudahan semula jadi, segala masa dan tenaga ke arah kehebatan diri sendiri semata-mata. Dengan demikian maka seseorang dari mereka itu tidak akan bekerja untuk faedah orang lain walau sekecil-kecil khidmat sekalipun malah ia tidak akan mengambil tahu walau sedikit pun dari hal umatnya. Sabda Nabi saw yang bermasud:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.
Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:
إن الله كتب الإحسان على كل شئ
Allah mewajibkan kesempurnaan dan keelokkan dalam setiap perkara.
Silap juga orang-orang yang menyangka kononnya angkatan Islam itu adalah juara penyeru ke arah sentimen perkauman. Sebenarnya kita dari angkatan Islam ini memahami bahawa Islam sangat-sangat menghormati hubungan umum di kalangan umat manusia seperti mana yang tersebut di dalam firman Allah(surah Al-Hujurat:13):
يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Wahai sekalian manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal - kenalan.
Kita mengetahui bahawa Islam itu datang membawa kebajikan kepada semua manusia dan sebagai suatu rahmat kepada sekalian makhluk. Mana jua ugama yang tugasnya demikian rupa adalah jauh sekali dari perbuatan yang memecah belahkan hati manusia dan hasut-menghasut sesama mereka. Qur’an sendiri menguatkan perpaduan ini dengan firman Allah (Al- Baqarah:285):
لا نفرق بين أحد من رسله
Kami tidaklah membeza-bezakan sesiapa pun dari antara para Rasulnya.
Perlu disebut bahawa Islam melarang dan mengharamkan pencerobohan hinggakan dalam keadaan kemarahan dan permusuhan sekalipun, Allah berfirman (Al-Maidah: 8):
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh kedudukan satu-satu pihak sehingga kamu berlaku tidak adil kerana ianya adalah lebih hampir kepada taqwa.
Dan Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan di kalangan warga negara sesebuah negara walaupun mereka itu berlainan aqidah dan ugama. Allah berfirman (Al-Mumtahanah:8):
لَا يَنْهَاكُمْ اللَّهُ عَنْ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ
Allah tidaklah menegah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu pada ugama dan yang tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.
Islam juga menganjurkan kita berlaku adil kepada orang-orang zimmi (orang tidak Islam di dalam negara Islam) dan bergaul baik dengan mereka. Ini ialah menurut dasar :
لهم ما لنا وعليهم ما علينا
Ertinya:
Mereka mendapat hak sama seperti kita dan mereka memikul tanggungjawab seumpama kita juga.
Kita mengetahui semuanya itu; oleh kita tidaklah menyeru ke arah faham apartheid dan tidak juga ke arah faham fanatik kelompok. Walaubagaimanapun, kita tidaklah pula menjual iman kita dengan harga perpaduan tersebut dan kita tidak juga bersedia untuk tawar-menawar kerana menegakkan perpaduan tadi sehingga tergadai akidah kita. Kita tidak akan sanggup berusaha untuk menegakkan perpaduan tersebut hingga mengorbankan kepentingan orang-orang Islam. Sebaliknya, cukuplah kita bersedia mengorbankan perpaduan demi kebenaran dan keadilan, tetapi lebih dari itu.
Oleh itu, barang siapa cuba membuat selain dari itu maka tentulah kita mesti menghalangi perbuatannya dan kita akan jelaskan kepadanya kesilapan fahamannya itu. Bagi Allahlah segala kebesaran dan bagi Rasulnya dan juga bagi orang-orang mukminin.
Suatu kesilapan juga orang-orang yang menyangka angkatan Islam ini bekerja untuk kepentingan badan yang tertentu atau pun mereka bergantung dagu kepada mana-mana kumpulan. Sebenarnya angkatan Islam ini bekerja untuk mencapai segala matlamat mereka sendiri menurut petunjuk dari Tuhan mereka iaitu bersama Islam dan pemeluknya di setiap masa dan tempat. Mereka membelanjakan apa yang dianugerahkan oleh Tuhan mereka demi untuk mencapai keredhaannya. Mereka merasa bangga kerana sehingga sekarang pun mereka masih belum pernah lagi menadah tangan kepada sesiapa dan mereka tidak pernah meminta pertolongan dari mana-mana orang atau badan atau pun mana-mana kumpulan.

Monday, October 19, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah .....bhg 3. Hasan Al banna

Wahai angkatan pemuda !
Ada pun manhaj atau program induk kita angkatan pemuda Islam memanglah mempunyai tahap-tahap yang tertentu, lengkap dengan rancangan-rancangannya yang terang lagi jelas. Sebenarnya kita memang benar-benar tahu apa yang kita kehendaki dan kita juga memang tahu bagaiman wasilah dan jalan yang boleh menyampaikannya kita kepada kehendak kita itu.
(1) Mula-mula sekali kita mahu diwujudkan individu muslim; iaitu individu muslim dalam pemikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya. Muslim dalam segala tindak-tanduknya. Ini dinamakan pembentukan keperibadian kita.
(2) Selepas itu kita mahu diwujudkan rumahtangga muslim, iaitu rumahtangga yang bersifat muslim dalam fikirannya, muslim dalam aqidahnya, muslim dalam segala tingkah laku serta perasaannya, muslim dalam segala amalan serta tindak tanduk. Bagi mencapai matlamat ini kita memelihara wanita sama seperti mana kita memelihara angkatan pemuda. Ini dinamakan pembetukan keluarga kita.
(3) Selepas itu kita mahu diwujudkan umat Islamiyah, iaitu umat bersifat muslim dalam semua sudut yang tersebut tadi. Bagi mencapai maksud ini kita bekerja supaya seruan dakwah kita sampai ke setiap buah rumah. Kita berusaha supaya suara kita kedengaran hingga ke setiap tempat, supaya fikrah kita ini berpeluang meresap masuk keseluruh dusun dan desa, pekan dan bandar, kota dan negeri. Dalam hal ini kita tidak boleh kedekut tenaga seperti mana kita tidak akan membiarkan mana-mana wasilah yang mampu kita lakukan.
(4) Selepas itu kita mahu diwujudkan kerajaan Islam. Kerajaan yang memimpin umat ini menuju ke masjid, yang boleh mendorongkan orang ramai ke arah petunjuk Islam seperti mana didorongkan para sahabat Rasulullah s.a.w dahulu seperti Abu Bakar dan Umar. Untuk mencapai maksud ini kita tidak boleh menerima sebarang pemerintahan kerajaan yang tidak bertapak di atas asas Islam dan tidak mengambil ajaran dari sumbernya(Al-Quran dan As-Sunnah). Kita tidak dapat mengakui parti-parti sekular yang ada sekarang. Kita tidak dapat menerima segala bentuk dan corak yang sudah usang yang dipaksakan kepada kita oleh orang kafir dan musuh-musuh Islam supaya kita berhukum dengan undang-undang mereka. Akan tetapi sebaliknya kita akan terus bertindak untuk menghidupkan semua sistem pemerintahan Islam dalam semua bidangnya sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam di atas asas sistem fikrah kita ini.
(5) Selepas itu kita mahu mencantumkan semula setiap bahagian tanahair Islam kita, tanahair yang telah dipecah belahkan oleh politik barat dan yang dihapuskan perpaduannya oleh sikap tamak-tamak dan haloba negeri-negeri Eropah. Bagi mencapai tujuan ini kita tidak dapat menyetujui segala pembahagian sempadan dan negara yang dilakukan dengan tujuan politik seperti yang ada sekarang. Kita juga tidak menerima segala perjanjian antarabangsa yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah dan dikotak katikkan supaya mudah ditelan oleh para perampas. Kita juga tidak akan berdiam membisu terhadap perbuatan menceroboh kebebasan umat-umat yang lemah ini dan segala bentuk cengkaman ke atas mereka. Mesir, Syria, Iraq, Saudi, Yaman, Libya, Tunisia, Algeria, Morocco, Malaysia dan setiap jengkal bumi yang di dalamnya terdapat insan muslim yang mengucapkan Lailaha illa Allah, semuanya itu adalah merupakan tanahair Islam yang terbesar. Kita terus menerus berusaha demi untuk memerdekakannya dan menyelamatkan serta melepaskannya dari cengkaman luar dan akhirnya mencantumkannya semula segala bahagiannya yang bercerai-berai itu.
Jika sekiranya seseorang Jerman itu meletakkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja orang yang berketurunan darah Jerman, maka aqidah Islam pula mewajibkan setiap orang muslim sebagai pembela kepada setiap insan yang meresap masuk ke dalam dirinya ajaran kitab Qur’an. Menurut istilah Islam, faktor-faktor keturunan darah-daging tidak boleh dianggap lebih kuat hubungannya dari faktor iman kepada Allah. Dalam persoalan ini aqidah Islam itu yang merupakan segala sesuatu kerana iman itulah yang membezakan di antara kasih sayang dengan kebencian.
(6) Selepas ini kita mahu pula panji-panji Allah itu kembali berkibaran di angkasa segala pelusuk dunia yang pada suatu masa dulu pernah menikmati kebahagiaan hidup di bawah fikrah Islam, iaitu negeri-negeri yang pernah berkumandang suara azan dengan ucapan takbir dan tahlil membesarkan Allah. Kemudian malangnya negeri-negeri tersebut menjadi malap cahayanya lalu jatuh semula ke tangan kafir setelah beriman. Sepanyol, Sicily, negeri-negeri Balkan(Bosnia, Croatia, Serbia dll) dan Itali Selatan semuanya itu adalah negeri-negeri kepunyaan umat Islam yang mesti kembali semula kepangkuan Islam. Laut Mediterranean dan Laut Merah sebagai dua tasik kepunyaan umat Islam mestilah dikembalikan seperti sediakala.
Jika sekiranya Mussolini (Diktator Italy semasa perang dunia kedua) berpendapat bahawa beliau berhak mengambil empayar Rom yang telah diwujudkan di atas asas kehalobaan dan hawa nafsu, maka kita pula berpendapat bahawa kita adalah berhak mengembalikan keagungan empayar Islam yang telah diwujudkan di atas asas keadilan dan keinsafan dengan tujuan menyebarkan cahaya serta petunjuk bagi seluruh umat manusia.
(7) Selepas itu, di samping perkara-perkara yang dicita-citakan tadi, kita mahu mencanangkan seruan dakwah kita kepada seluruh dunia dan kita mahu menyampaikannya kepada sekalian umat manusia sehingga meresap keseluruh pelusuk bumi dan sehingga tunduklah setiap makhluk yang angkuh itu kepada seruan tersebut, agar tidak lagi berlaku fitnah dan kembalilah ugama itu semuanya kepada Allah. Pada ketika itu bergembiralah orang-orang mukmin dengan pertolongan Allah. Allah pasti menolong sesiapa yang di kehendakinya kerana Dia adalah Maha Gagah lagi Maha Penyayang.

Perlu di sebut bahawa setiap tahap program induk tadi telah lengkap mempunyai perencanaannya, pecahan serta wasilah-wasilah yang boleh digunakan. Tetapi di sini kita memadai dengan serba ringkas tanpa membicarakannya dengan panjang dan perincian. Allah jualah tempat kita memohon pertolongan dan memadailah Dia sebagai tumpuan kita dan sebaik-baik pengawal.
Biarlah orang-orang yang culas serta pengecut itu berkata kononnya dakwah kita ini "hanya suatu angan-angan yang begitu jauh dan suatu dongengan yang menawan hati manusia.
Sebenarnya itulah yang dikatakan kedayusan yang kita tidak pernah kita kenali dan tidak juga diajar oleh Islam. Itulah dia yang dikatakan al-wahn atau sifat pengecut yang dilemparkan ke dalam hati umat kita ini lalu mendedahkannya kepada musuh-musuh, dan itulah yang dikatakan kemusnahan hati sanubari serta kekosongannya dari iman dan inilah yang merupakan sebab kejatuhan umat Islam.
Namun demikian, kita tetap mengistiharkan dengan jelas serta terus terang bahawa sesiapa orang muslim yang tidak percaya kepada program induk dakwah kita ini dan tidak bekerja untuk menjayakannya maka mereka tidak langsung mempunyai saham kepada Islam. Eloklah ia mencari fikrah lain untuk dipercayai dan bekerjalah dengan ideologi tersebut.

Thursday, October 15, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah .....bhg 2

Wahai angkatan pemuda !
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan kamu angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada kamu serta mendidik kamu atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan kamu di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada kamu kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110):
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ
Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru kamu ialah hendaklah kamu mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah kamu menyedari martabat kamu dan yakinlah bahawa kamulah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan. Hendaklah kamu yakin bahawa kamu adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi kamu dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.

Oleh itu, wahai angkatan pemuda!
Hendaklah kamu menentukan matlamat dan haluan kamu. Ketahuilah bahawa titik kekuatan ialah iman. Hasil dari iman ini lahirlah perpaduan. Dengan ini tercapailah kemenangan yang cemerlang. Maka segeralah kamu beriman, berukhuwwah dan bertindak, kemudian tunggulah kemenangan dan sampaikanlah berita baik ini kepada seluruh para mukminin.
Seluruh dunia berada di dalam keadaan cengang -bengang lagi bergejolak. Segala sistem yang ada kini telah gagal mengubatinya. Tidak ada sebarang ubat untuk menyelamatkan dunia ini melainkan dengan Islam jua. Oleh itu, tampillah ke hadapan dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia itu kerana seluruh umat manusia sedang bertunggu-tunggu ketibaan seorang penyelamat dan juru penyelamat ini tidak akan berlaku melainkan dengan mengamalkan risalah (perutusan) Islam, iaitu risalah yang dibawa obor-obornya oleh kamu. Bangkitlah dan siarkanlah nya ke seluruh alam.

Monday, October 5, 2009

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah ..bhg 1

Wahai angkatan pemuda !
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.

Allah berfirman(Al-Imran:18-19):
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.
Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3):
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا
Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ
Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.

Friday, October 2, 2009

WAHAI PEMUDA....Hasan Al Banna

Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.
Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Ada pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.
Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Wahai angkatan pemuda!
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Monday, September 28, 2009

Hari esok Untuk Islam ...Hasan Al Banna 2

Fajar menyinsing
Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa
golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.
Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat
dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.
Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam
telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.
Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi
banyak…"(Al A'araf: 86).
Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.

Wednesday, September 23, 2009

Hari esok Untuk Islam ...

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.
Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.
Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala." Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)
Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.
Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.
Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.
Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

Hadis Larangan Rasulullah...wajib dipatuhi

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى ا لله
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : (( مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوْهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا
أَهْلَكَ الَّذِیْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ آَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ )) رواه البخاري ومسلم.
Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar
Rasulullah SAW bersabda:
Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang
aku perintahkan kamu melakukannya, maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang
terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka
terhadap Nabi-nabi mereka.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
Kandungan Hadis :
1) Sebab Hadis - Khutbah Nabi (difardhu Haji ) - penyoal Aqro’ bin Haabis.
2) Jauhi Larangan :
i) sebab haram - dapat pahala/ buat dapat dosa.
ii) sebab makruh - dapat pahala / buat tak berdosa.
3) Buat apa yang disuruh :
i) wajib - dapat pahala/ tinggal dapat dosa.
ii) sunat - dapat pahala/ tinggal tak berdosa.
4) Larangan banyak bertanya :
perkara yang tidak dijelaskan oleh syara’.
pada perkara yang tidak mendatangkan faedah/ tidak dihajati.
pertanyaan berbentuk mempersendakan/ menghina.
masaalah yang tidak berlaku.
Pengajaran hadis:
Seorang mukmin mestilah menjauhkan sama sekali semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang
dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.
Seterusnya dia mestilah melaksanakan segala suruhan Baginda Rasulullah SAW sekadar yang
termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan kerana ia akan menyebabkannya
tewas terkulai tidak berdaya melakukannya sebegitu teruk.
Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Perintah wajib atau fardhu
mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara' iaitu kerana uzur atau
sakit.
Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah
para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa
kesusahan dan keibnasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.
Visit InfoServe for Blogger backgrounds and to create a website.